MANCHESTER City mengesahkan telah menandatangani penyerang Borussia Dortmund Erling Haaland dengan nilai perpindahan berjumlah 51 juta paun (RM275.74 juta).
Kelab tersebut mengumumkan pemain penyerang Norway itu bakal berhijrah ke Manchester City bermula 1 Julai.
“Manchester City telah mengesahkan kami telah mencapai kata sepakat dengan Borussia Dortmund untuk perpindahan Erling Haaland ke Manchester City bermula 1 Julai 2022,” ujar kelab tersebut.
Haaland telah bersetuju mengikat kontrak selama lima tahun bersama kelab The Citizens.
Pemain berusia 21 tahun itu juga dilaporkan bakal menerima bayaran sebanyak 385, 000 paun seminggu hampir menyamai gaji yang diperoleh Kevin De Bruyne.
Sebelum ini, Haaland telah dikaitkan bakal berhijrah ke Real Madrid, Barcelona, Paris Saint Germain dan Manchester United dalam beberapa bulan kebelakangan ini namun segalanya telah disangkal menerusi pengumuman Manchester City.
Sementara itu, jurulatih Manchester City, Pep Guardiola tidak memberikan sebarang reaksi kerana ianya masih dalam proses dan hanya mengatakan dia tidak dibenarkan untuk membuat sebarang kenyataan sehingga proses perpindahan itu benar benar selesai.
“Saya tidak dibenarkan beri sebarang komen, jadi saya akan diam dan minta maaf saya tidak boleh komen sehingga ianya masih dalam proses,” jelas Pep Guardiola.
Haaland mengikut jejak ayahnya, Alf-Inge yang menghabiskan tiga musim bersama City semasa perjalanan kariernya sebagai pemain bola sepak.
Pemain muda ini bakal mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Dortmund pada aksi terakhir Bundesliga musim ini menentang Hertha Berlin , Sabtu ini.
Bersandarkan rekod, Haaland merupakan penyerang dan penjaring prolifik dalam dunia bola sepak dan telah menyumbat masuk 85 gol dalam 88 kali penampilannya bersama Dortmund dalam tempoh hampir tiga tahun.