NASIB dua penerjun sensasi negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri akhirnya terjawab apabila Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) terpaksa menggugurkan mereka dari program tersebut.

Keputusan telah dibuat secara sebulat suara pada Mesyuarat Jawatankuasa RTG yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini bagi membincangkan perkembangan dan rancangan masa depan program itu ketika Sukan Olimpik Paris semakin hampir.

Menurut Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam menyatakan bahawa penyingkiran Pandelela dan Dhabitah dibuat setelah masing-masing gagal mempamerkan aksi memberangsangkan di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha awal Februari lalu sekali gus tidak melayakkan mereka ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Mesyuarat Jawatankuasa RTG telah berlangsung di MSN, Bukit Jalil pada Khamis.

“Walau bagaimanapun, kedua-duanya akan terus menjadi sebahagian daripada Program Podium sebagai atlet elit negara dan Jawatankuasa RTG akan terus memantau kemajuan mereka.

“Program Podium akan bekerjasama rapat dengan atlet dan persatuan untuk memastikan Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri menerima semua sokongan untuk mereka menemui semula rentak yang diharapkan sebelum dipertimbangkan semula untuk dimasukkan ke dalam program pada masa hadapan,” ujarnya selepas mesyuarat Jawatankuasa Program RTG di MSN pada Khamis.

Sementara itu, Stuart turut mengumumkan penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises, wakil tunggal negara yang layak beraksi di Paris telah disenaraikan dalam RTG bagi membantu dirinya dalam mempunyai persiapan rapi bagi menghadapi temasya berprestij itu nanti.

Pandelela dan Dhabitah masing-masing gagal ke Olimpik sekali gus gugur dari program RTG.

“MSN telah memulakan Program Fast-Track dengan misi mewujudkan atlet muda dan berbakat yang baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Setakat ini, terdapat dua sukan tersenarai dalam Program Fast-Track iaitu terjun dan skuasy. Kriteria untuk berada dalam ini ialah berada di kedudukan 20 terbaik dunia selain beberapa kriteria lain,” katanya.

Selain itu, pasangan terjun Rhodict, Enrique Maccartney Anak Harold dan beberapa atlet skuasy turut disenaraikan dalam Program Fast Track iaitu Ng Eain Yow, S.Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman.