PENGERUSI Eksekutif Perak FC Khairul Nizam Mahmood mendedahkan telah menjual 100 peratus kelab kepada syarikat komunikasi, XOX.
Menurut Khairul, pihaknya bersyukur dalam keadaan yang memerlukan, Impact Media & Communication (IMC) berjaya mendapat persetujuan awal daripada XOX.
“Kami tak maklum kepada peminat-peminat lebih awal kerana perlu dibuat secara teliti dan mendapatkan hasil yang baik.
“Kami berjaya mendapat owner (pemilik) baharu Perak FC yang mempunyai kredibiliti tinggi. Harap selepas ini akan jadi ‘The Best of Perak FC’. Apa sahaja bantuan yang mereka perlu untuk memudahkan transisi ini pihak kami sedia bekerjasama,” jelasnya selepas menandatangi persetujuan bersama XOX.
Dalam pada itu, Khairul Nizam turut menjelaskan bahawa peralihan ini melibatkan seratus peratus kepada XOX.
“Kami jual seratus peratus kepada XOX. Bayaran XOX berdasarkan kontrak lama macam mana kita ambil dengan Perak FA sebelum ini. Tidak ada kos tambahan atau bayaran tertentu.
“Dari awal lagi kita dah cakap bayaran RM1 pun kita akan jual oleh kerana kemampuan kami untuk mengurusklan Perak FC tidak mencapai tahap sepatutnya selepas kami ditinggalkan oleh ‘funder’.
“Jadi untuk pengetahun ‘fans’ Perak FC, pengambilalihan ini kami perlukan yang terbaik dan dapat yang terbaik,” jelasnya.