SETELAH membawa negeri kelahirannya memenangi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma), ‘saham’ pengendali Terengganu FC (TFC) II, Badrul Afzan Razali, semakin melonjak.

Manakan tidak, beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) telah merisik khidmat jurulatih berusia 46 itu bagi melatih pasukan mereka dalam saingan musim depan.

Namun menurut Badrul, dia berhasrat untuk terus kekal bersama skuad TFC II dalam Liga Simpanan walaupun pihak pengurusan Sang Penyu belum memberi sebarang kata putus.

“Saya masih belum pasti mengenai masa depan dalam saingan Liga M musim depan kerana masih menanti sama ada masih diberi kepercayaan bersama TFC II atau sebaliknya.

“Ada beberapa pasukan menawarkan tempat bersama mereka dalam Liga Simpanan namun saya masih berminat untuk kekal berkhidmat di negeri kelahiran saya ini.

“Jadi terpulang kepada pihak pengurusan TFC. Jika khidmat tidak lagi diperlukan, saya terima dengan hati terbuka dan akan berhijrah,” jelasnya ketika dihubungi FLASH SUKAN di sini pada Isnin.

Jurulatih kelahiran Kemaman itu mula membimbing TFC II pada 2021 dengan membawa skuad berstatus ‘feeder‘ itu menduduki tempat ketiga Liga Premier dan tempat keempat musim ini.

Jumaat lalu, Badrul Afzan meneruskan sentuhan membawa pulang ‘ibu pingat’ pada Sukma 2022 apabila menewaskan Pulau Pinang 2-0 sekaligus menamatkan kemarau pingat emas selama 12 tahun.