MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan tahniah kepada pasukan Imigresen FC yang berjaya muncul juara sulung Liga MBSB Bank Championship 2023 pada Sabtu.

Saingan sengit tiga penjuru bagi merebut gelaran terpaksa ditentukan pada hari terakhir liga dengan Imigresen mengatasi Melaka FC 1-0 di Stadium Hang Tuah sekali gus muncul juara memintas pendahulu terdahulu, Kuala Lumpur Rovers.

“Tahniah Imigresen FC ! Kejuaraan MBSB Bank Championship 2023 milik kita !

“Tahniah kepada semua pemain, barisan kejurulatihan serta penyokong dan peminat IFC.

“Ini baru MIGHTY TIGERS ! ,” tulis hantaran Saifuddin di Instagram.

Imigresen FC di bawah kendalian Mat Zan Mat Aris mempamer karakter kepimpinan yang cemerlang selepas mencatat kemenangan yang konsisten sehingga mendapatkan maksimum 55 mata selepas mengharungi 24 perlawanan liga.

Berikutan kejayaan itu, Imigresen dipromosi ke Liga Super musim hadapan dan bakal bertemu kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim serta pasukan handalan lain seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN :Balo wira Imigresen, pemenang Kasut Emas idam aksi Liga Super