KEHADIRAN tiga awang import di posisi tengah tidak melemahkan semangat Akram Mahinan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Terengganu FC (TFC) musim ini.

Menurut pemain berpengalaman itu, beliau optimis masih mampu memikat barisan kejurulatihan meskipun menyedari saingan sengit untuk berada dalam perancangan pasukan.

Akram menjelaskan, keputusan untuk berhijrah ke Pantai Timur adalah untuk mencuba cabaran baharu dan itu yang akan dilakukan bekas tonggak Harimau Malaya berkenaan.

Akram sedia hadirkan cabaran sengit rebut kesebelasan utama TFC.

“Sudah tentu saya harus bersaing dengan (Manny) Ott, Nurillo (Tukhtasinov) dan Marin (Pilj) yang baru tiba untuk posisi tengah tetapi jurulatih tentu ada percaturan tersendiri dalam setiap perlawanan.

“Saya melihat ini adalah persaingan positif yang hanya menguntungkan TFC kerana semua pemain pasti akan beri yang terbaik ketika latihan dan kami juga akan melalui musim yang panjang.

“Jadi saya juga tidak terkecuali, mahu beri lebih 100 peratus komitmen kepada TFC dan membuktikan kemampuan untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Akram dan Safawi Rasid (kiri) bakal pacu skuad Peteh ke mercu kejayaan.

Akram yang juga bekas pemain KL City FC dan Kedah sebelum ini turut antara muka baharu memperkuatkan skuad Penyu menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.

Pengendalinya, Tomislav Steinbrucker, menyifatkan pengalaman dimiliki pemain berkenaan merupakan aset terpenting yang mampu memberi impak kepada TFC terutama di posisi tengah.

“Beliau (Akram) adalah pemain tempatan terbaik yang tahu peranan di posisi itu dan kehadirannya akan memberi kestabilan kepada pasukan terutama ketika bertahan dan menyerang,” katanya.