KEHADIRAN ramai pemain berkualiti dalam skuad kebangsaan menjadikan persaingan memburu slot khususnya posisi tengah semakin sengit.
Namun begitu, pemain tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin percaya dirinya sentiasa menampilkan aksi terbaik bagi berada dalam kesebelasan utama pasukan.
“Memang ramai pemain tengah yang cukup bagus dalam pasukan dan juga bermain dalam Liga Malaysia. Tidak dinafikan ia sukar (perebutan posisi) tapi saya selalu berusaha bagi yang terbaik dan segalanya demi pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita di hotel penginapan dekat Kuala Terengganu pada Ahad.
Sementara itu, pemain kelahiran Woking, England tidak mahu rakan sepasukan memandang enteng perlawanan berdepan Papua New Guinea yang kini menghuni ranking 159 Fifa dan lebih rendah berbanding skuad negara.
“Kedudukan ranking dunia tidak memberi gambaran sebenar mengenai kekuatan sesebuah pasukan. Saya rasa sukar untuk cakap kerana kebanyakan pasukan ini tidak kisah pun ranking tinggi atau rendah.
“Tapi sebagai pasukan kami yakin dapat beri saingan dan terus kekal dengan perancangan asal permainan dan cuba hasilkan jaringan sebanyak yang mungkin,” katanya yang bermain barisan pemula semasa Malaysia membenam Kepulauan Solomon 4-1 di Gong Badak, Rabu lepas.
Wilkin yang menyarung jersi Sabah FC sejak musim 2022 memberitahu segala kelemahan dan kesilapan dapat dikurangkan berbanding seperti yang terjadi dalam perlawanan pertama Tier 1 baru-baru ini.
“Apa.yang boleh kami lakukan memanfaat setiap peluang yang dimiliki,” tambahnya.
Perlawanan menentang pasukan yang berada dalam benua Oceania itu akan diadakan pada Selasa malam di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.