TERKEDU dan terkilan… begitulah reaksi rakan-rakan mendiang Gan Teik Chai.
Mohd Zakry Latif yang berada di Chengdu, China terkedu mendapat perkahabaran pemergian Teik Chai manakala Sairul Amar Ayob terkilan tidak sempat memenuhi hasrat rakannya yang mahu minum bersama.
Bekas gandingan Teik Chai, Mohd Zakry Latif harap sempat menziarah mendiang sebelum disemadi pada Rabu.
Zakry kini membimbing skuad badminton negara di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023, merancang segera ke Nirvana Shah Alam, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Rabu nanti, untuk memberi penghormatan terakhir.
“Terkejut dan sedih sangat kerana batch kami rapat, saya, Fairuz (Fairuzizuan Tazari), Chong Wei (Datuk Lee Chong Wei) dan ramai lagi.
“Dari kecik sejak usia 13 tahun kami bersama, hidup bersama dan ke mana-mana bersama. Boleh dikatakan kami bersama lebih banyak berbanding berada di sisi keluarga sendiri sehinggalah mendiang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2009 a tau 2010,” kata Zakry, ketika dihubungi Flash Sukan.
Menurutnya, ketika usia 13 tahun, mereka semua bermain sebagai pemain perseorangan.
Zakry menyifatkan mendiang seorang yang baik hati, periang dan gemar membuat jenaka.
“Pencapaian terbaik saya dan Teik Chai adalah di Seluruh England 2006, apabila mara ke separuh akhir bersama dua lagi gandingan, Lim Woon Fui-Fairuzizuan dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah,” kata Zakry.
Menurutnya, menyerlahkan lagi keperibadian Teik Chai apabila mendiang dan gandingannya Tan Bin Shen meninggalkan BAM dan bergelar pemain profesional di bawah payung KLRC sekitar 2010.
“Pada 2011, Teik Chai-Bin Shen layak secara merit ke Kejohanan Dunia, namun BAM memutuskan untuk memberi slot wild card kepada saya dan Fairuzizuan yang berada dalam BAM.
“Saya memang bimbang hubungan persahabatan kami terjejas, tapi Teik Chai tidak pernah menyebutnya dan meneruskan persahabatan seperti biasa,” kata Zakry, yang dijangka tiba dari Chengdu, China pada subuh 9 Ogos.
Dia berharap sempat memberi penghormatan terakhir kepada Teik Chai.
Dalam pada itu, Sairul berkata, dia yang tiga tahun lebih senior, mula mengenali Teik Chai ketika mendiang berusia 12 tahun, dan sering bergerak menyertai kejohanan bersama-sama.
Kongsi Sairul, dia berasa serba salah selepas dihubungi Teik Chai Rabu lalu, yang mengajaknya untuk keluar minum bersama, namun tidak dapat memenuhi permintaan mendiang, yang meninggal dunia secara mengejut.
“Dia hubungi saya, tak sempat jawab jadi dia tinggalkan nota suara di Aplikasi WhatsApp.
“Saya akan simpan nota suara ini sampai bila-bila… ini kenangan yang amat bermakna,” kata Sairul.
Jenazah mendiang boleh dilawat di Nirvana Shah Alam bermula petang ini sehingga Rabu.