PEMAIN sayap kanan Arsenal, Bukayo Saka telah mengeluarkan permohonan maaf kepada Kostas Tsimikas selepas bintang Liverpool itu terlibat dalam kemalangan dengan Jurgen Klopp dan dihantar ke hospital semasa seri 1-1 di Anfield awal pagi tadi.

Insiden itu berlaku pada minit ke-33 apabila Saka menepis Tsimikas ketika merebut bola dan terkena Klopp yang berada di luar garisan, membuatkan jurulatih itu jatuh menghempap bek kiri Liverpool itu.

Tsimikas yang tercedera dalam kejadian itu digantikan oleh Joe Gomez, dan pemain antarabangsa Yunani itu kemudian dikejarkan ke hospital.

Ia telah disahkan bahawa Tsimikas telah mengalami patah tulang selangka yang akan menjadi tamparan hebat kepada pasukan The Reds kerana Andy Robertson dijangka tidak akan kembali sehingga tahun baharu.

Gomez, yang memberikan penampilan cemerlang semasa ketiadaan Tsimikas, mungkin menjadi peranan utama dalam beberapa minggu akan datang.

Selepas perlawanan, Saka memohon maaf kepada Tsimikas berkenaan kejadian itu. Dia memberitahu SkySports: “Saya dengar dia telah dibawa ke hospital, jadi jelas saya ingin meminta maaf kepadanya, saya tidak beniat untuk melakukannya.”

“Bagi saya, ia adalah 50/50 dan saya berlanggar bahu dengannya. Saya tidak melihatnya tetapi dia pasti terjatuh dengan teruk, saya juga tidak melihat dia terpelanting ke arah Jurgen Klopp. Saya fokus untuk berlari ke hadapan kerana saya tidak fikir itu satu kesalahan. Itulah pendapat saya.”

Klopp menyatakan kekecewaannya atas kecederaan pemainnya. “Berkenaan isu tulang selangka Kostas Tsimikas, ia pasti patah, jadi dia tidak akan beraksi untuk jangka masa yang lama. Isu lain yang kita perlu lihat. Ia sukar untuk kami menerimanya dengan situasi Robbo (Andy Robertson).”

Dalam perlawanan itu, Gabriel memberi keunggulan kepada Arsenal pada minit keempat apabila dia menjaringkan gol hasil hantaran Martin Odegaard.

Liverpool menyamakan kedudukan sebelum sejam apabila Mohamed Salah menjaringkan gol menakjubkan yang ke-151 dalam Liga Perdana. Pasukan Mikel Arteta terus menekan untuk mencari gol kemenangan tetapi kedua-dua pasukan terpaksa menerima keputusan satu mata seri.

Keputusan itu membuatkan Arsenal berada di puncak carta Liga Perdana, namun Saka jelas kecewa dengan aspek prestasi pasukannya.