MOHAMED Salah memberi petunjuk bahawa dirinya akan terus kekal di Liverpool dan berhasrat untuk meraih trofi pada musim hadapan.

Bintang Mesir itu mengatakan Liverpool akan berjuang habis-habisan untuk memenangi trofi pada musim depan, dan ini menunjukkan bahawa dia sekurang-kurangnya akan menghabiskan baki setahun kontraknya di Anfield.

Salah hanya mempunyai 12 bulan lagi dalam kontraknya dan dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Pro Saudi.

Liverpool dikhabarkan menolak tawaran sebanyak £150 juta (RM897 juta) daripada Al-Ittihad untuk pemain berusia 31 tahun itu pada September lepas.

“Kami tahu bahawa trofi adalah yang paling penting dan kami akan melakukan segala yang mungkin untuk mencapainya musim depan.

“Peminat kami layak mendapatkannya dan kami akan berjuang habis-habisan,” ujar Salah di media sosial.

Liverpool memenangi Piala Liga dalam musim terakhir Jurgen Klopp sebagai pengurus, tetapi gagal dalam perebutan Liga Perdana Inggeris, Piala FA, dan Liga Europa.

Pemergian Klopp selepas lebih lapan tahun mengemudi Liverpool telah menimbulkan keraguan mengenai masa depan beberapa pemain bintang yang terkenal di bawah pimpinan beliau, termasuk Virgil van Dijk dan Trent

Alexander-Arnold yang juga memasuki tahun terakhir kontrak mereka.

Bekas bos Feyenoord, Arne Slot, telah disahkan sebagai pengganti Klopp oleh Liverpool pada Isnin.