PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah akan kembali ke England untuk melengkapkan program pemulihan selepas mengalami kecederaan hamstring ketika mewakili Mesir menentang Ghana semasa Piala Negara-negara Afrika 2023 di Ivory Coast.
Namun ianya mempunyai syarat yang perlu dipatuhi iaitu sekiranya Mesir berjaya layak ke separuh akhir, Salah perlu kembali ke skuad kebangsaan selepas menjalani tempoh pemulihan.
Perkara ini disahkan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang menghubungi Salah menerusi telefon dan dia mahukan ayam tambatannya itu diberikan pemeriksaan perubatan penuh bagi memastikan dia kekal cergas.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Mesir juga mengeluarkan kenyataan menjelaskan yang Salah bakal terlepas dua perlawanan dan akan kembali ke dalam skuad sekiranya Mesir berjaya layak ke final.
“Salah kini akan kembali ke England untuk menjalani rawatan dengan harapan dia dapat kembali semula dalam skuad kebangsaan jika Mesir layak ke separuh akhir,” tulis kenyataan itu.
Salah berhak untuk berada di dalam skuad Mesir selepas dikecewakan Senegal pada final edisi lalu dan kini berharap pasukan medikal Liverpool dapat mengembalikannya dalam keadaan yang cukup cergas untuk beraksi.
Selepas berakhir dua perlawanan, Mesir masih bergelut dengan hanya dua mata selepas terikat 2-2 masing-masing kepada Mozambique dan Ghana dan kini memerlukan kemenangan ke atas Cape Verde untuk meneruskan perjalanan di Afcon 2023.