PENGURUS Liverpool, Arne Slot, memberikan isyarat kepada pihak pengurusan kelab supaya Mohamed Salah terus dikekalkan di Anfield. Salah telah menjadi legenda di Liverpool, terutama kerana kehebatannya dalam menjaringkan gol.

Namun, masa depan Salah di Liverpool kini dalam ketidakpastian. Kontraknya di Anfield akan tamat pada Jun 2025, dan terdapat laporan bahawa pihak pengurusan Liverpool ragu-ragu untuk menawarkan kontrak baharu dengan nilai besar memandangkan usia Salah yang kini sudah mencecah 32 tahun.

Sebelum ini, Mohamed Salah pernah membincangkan situasi kontraknya di Liverpool. Dia mengakui ini mungkin tahun terakhirnya bersama kelab tersebut.

“Sejujurnya, saya menjalani musim panas yang baik. Saya mempunyai masa yang lama untuk bertenang dan mencuba untuk berfikir positif, kerana seperti yang anda tahu, ini tahun terakhir saya di kelab,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Goal.

“Saya hanya mahu menikmatinya dan tidak mahu terlalu memikirkannya. Saya berasa bebas bermain bola sepak, dan kita lihat apa yang akan berlaku pada tahun depan,” tambah Salah.

Liverpool baru sahaja berdepan Manchester United dalam perlawanan minggu ketiga Liga Perdana Inggeris 2024/2025 di Old Trafford, pada Ahad. Selepas perlawanan tersebut, Slot ditanya tentang komennya berhubung kenyataan Mohamed Salah mengenai kontraknya.

Slot mengelak daripada berbicara mengenai kontrak tersebut, namun memberikan isyarat bahawa dirinya mahu Salah dikekalkan oleh Liverpool.

“Ramai yang bercakap tentang ‘kalau’. Pada masa ini, beliau adalah salah seorang daripada kami, dan saya sangat gembira beliau menjadi salah seorang daripada kami serta bermain dengan sangat baik.

“Saya tidak bercakap tentang kontrak pemain. Namun, saya boleh berbicara berjam-jam tentang bagaimana Mo bermain hari ini,” kata Slot.