SEJAK kebelakangan ini Manchester United bukan lagi sebuah kuasa besar dalam arena bola sepak di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan seringkali tewas ketika berdepan kelab tidak ternama.
Namun begitu, aksi berdepan Liverpool di Old Trafford dalam North West Derby pada awal pagi Selasa ini masih dinanti-nantikan jutaan penduduk seluruh dunia.
Dalam beberapa musim terakhir Liverpool miliki catatan bagus ketika melawan United. Tetapi, ia tidak bererti saingan itu bakal jadi lebih mudah.
Sayap Liverpool, Mohamed Salah mengakui bahawa perlawanan ini bakal menerbitkan keistimewaan kepada kedua-dua pasukan kerana masing-masing memburu kemenangan pertama.
It was a five-star performance last time out at Old Trafford… including a record-breaking @MoSalah hat-trick ⚽⚽⚽ #MUNLIV pic.twitter.com/YoPQESgHmB
— Liverpool FC (@LFC) August 21, 2022
“Persaingan antara Liverpool dan Manchester United akan selalu ada, sebab kami sudah beberapa kali menjuarai liga, mereka juga beberapa kali juara liga.
“Akan selalu ada persaingan antara kedua-dua pasukan ini dan akan terus ada selamanya. Sebab, dalam sejarah, inilah dua kelab terbesar di Inggeris,” kata Salah dipetik Sky Sports.
Sejak bergabung dengan Liverpool lima tahun lalu, Salah sudah lapan kali berdepan Manchester United di EPL.
Hasilnya, tujuh gol dibukukan Salah termasuk menyumbat lima jaringan dalam dua pertemuan pada 2021/2022.
The Reds dan The Red Devils kelihatan sukar menemui rentak permulaan musim baharu 2022/23 apabila gagal mencatatkan kemenangan.
United dua kali kalah manakala Liverpool dua kali seri.