AKSI melibatkan pasukan Selangor FC dalam Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024-25 dijangka akan bertambah baik apabila pengurusan stadium menaiktaraf saliran di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Ini selepas pihak pengendali stadium, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah bersetuju untuk mengambil geran Penambahbaikan Saliran bernilai RM300,000 yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Sebelum ini pihak KBS menerusi Menterinya, Hannah Yeoh menyatakan geran Penambahbaikan Saliran dan Penanaman Rumput berjumlah RM500,000 disediakan untuk setiap negeri bagi menambah baik keadaan padang di stadium utama.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang menyatakan pihaknya gembira dengan perkembangan kerja-kerja tambah baik stadium itu yang akan menepati piawaian yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Setakat ini, Tuanku Raja Muda Selangor telah beberapa kali pergi melawat tapak dan pihak MBPJ juga sangat mudah bekerjasama dalam proses naik taraf terutama bahagian kerusi, sistem pembesar suara dan beberapa lagi bahagian di stadium.
“Terima kasih juga kepada pihak KBS yang menyediakan dana RM300,000 yang kini digunakan untuk menaiktaraf saliran padang oleh pihak kontraktor MBPJ bagi memastikan keadaan stadium menjadi lebih baik dan selesa untuk semua pihak,” katanya.
Bagaimanapun, MBPJ tidak mengambil dana penggantian rumput bernilai RM200,000 kerana kekangan masa dan semua kerja-kerja naik taraf ini akan selesai pada penghujung April.