PENCAPAIAN membaharui rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) dan 60m, melayakkan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dipilih 100PLUS sebagai penerima Anugerah Khas pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100PLUS 2022, Selasa ini.
Pengarah Urusan Perhubungan Kerajaan dan Industri dan Pengurusan Halal, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Datuk Raffiq Md Ariff berkata, pencapaian konsisten Azeem sejak terlibat dalam olahraga cukup menakjubkan apabila mencapai satu demi satu kejayaan.
“Kita dapat menyaksikan permata baharu dalam pembikinan arena olahraga negara selepas era 90-an, iaitu Watson Nyambek dan Azmi Ibrahim, sentiasa menghadirkan cerita yang manis untuk sukan tanah air.
“Kami berharap anugerah yang diberikan kepada Muhammad Azeem dapat dijadikan motivasi untuk terus cemerlang dalam arena olahraga sekali gus, membanggakan rakyat Malaysia khususnya,” kata Raffiq dalam kenyataan yang diedarkan SAM.
Azeem mula mendapat perhatian apabila muncul di trek pada usia 14 tahun, selepas layak ke final 100m Sukan Malaysia (Sukma) Perak, sehingga digelar ‘Usain Bolt Malaysia’ setelah mencetus fenomena baharu sukan olahraga negara.
Azeem yang meraih keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), melanjutkan pelajaran di Universiti Auburn, Alabama, Amerika Syarikat (AS).
Dia yang memecah rekod kebangsaan 100m milik Khairul Hafiz Jantan (10.18s) dengan catatan baharu 10.09s di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di cali, Columbia tahun lalu, mencipta sensasi setelah berkelana di AS.
Anak jati Teluk Intan, Perak itu memadam rekod kebangsaan berusia 24 tahun acara 60m, milik Watson Nyamber (6.66s) dengan catatan 6.63s di Terbuka Texas Tech & Multi di Texas.
Dalam pada itu, SAM turut mengumumkan bahawa Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan SAM-100PLUS 2022.
Sumbangan Norza sepanjang bersama BAM sejak 2017, denagn menamatkan penantian gelaran juara di Kejohanan Dunia 2022 menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain tiga pingat perak Olimpik menerusi Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (Rio 2016), membuka lembaran baharu kejayaan badminton negara.
Kewujudan Akademi Badminton Malaysia (ABM) juga adalah ilham darinya, selain banbyak lagi pencapaian memimpin persatuan sukan kebangsaan termasuk Maljlis Olimpik Malaysia (MOM) dan peranannya di peringkat antarabangsa, dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan untuk semua di Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Presiden Kehormat Badminton Asia (BAC).
Anugerah SAM berlangsung di Sunway Resort Hotel bukan hanya mengiktiraf atlet dan tokoh sukan yang menyumbang kepada sukan negara, malah mengiktiraf karya ahli SAM, baik dari media cetak mahupun elektronik.