PERSATUAN Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) kembali menganjurkan Anugerah 100Plus Perpaduan SAM yang akan dianjurkan pada 6 September akan datang.
Selepas tertunda setahun ekoran penularan pandemik Covid-19, anugerah kali ini telah menggabungkan dua edisi iaitu untuk tahun 2020 dan 2021 dengan hampir 200 penyertaan telah diterima.
17 anugerah kewartawanan bakal diberikan dengan lapan anugerah untuk tahun 2020 dan lapan anugerah untuk tahun 2021 serta satu penghargaan tertinggi iaitu Anugerah Siebel.
Tambah menarik, dua anugerah baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Kewartawanan Sukan Perpaduan dan Anugerah Foto Perpaduan yang dijalankan dengan kerjasama daripada Kementerian Perpaduan Negara.
“Anugerah Perpaduan ini diwujudkan kerana kami mahu elemen baharu yang tidak hanya berpaksi pada sukan tetapi lebih kepada pembangunan negara. SAM berharap berita dan gambar yang dipertandingkan boleh memberikan impak dengan menjadikan sukan sebagai ejen perpaduan.
“Pihak kami turut berharap anugerah ini akan dilangsungkan secara berterusan dan akan dikekalkan pada edisi akan datang,” kata Presiden SAM, Ismadi Abdul Manap pada sidang media.
Turut gembira dengan penganjuran ini adalah penaja utama, Fraser And Neave yang sudah bersama-sama SAM sejak 2003 sebagai tanda penghargaan kepada atlet dan juga kepada para wartawan sukan tanah air.
“Kami gembira dan bersyukur kerana dapat bersama SAM sejak 2003 dalam penganjuran anugerah ini. Penglibatan kami adalah untuk menyokong SAM dan ahli mereka kerana wartawan sukan memainkan peranan penting dalam membina sukan di negara ini.
“Anugerah ini adalah untuk mengiktiraf pencapaian atlet terbaik dan juga kejayaan para wartawan sukan dari semua platform media. Ini adalah langkah penghargaan kami dalam menyokong industri sukan secara keseluruhan,” kata Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Industri Fraser And Neave, Datuk Raffiq Md.Arif.
Hadiah bernilai RM109,000 akan menjadi rebutan untuk para pemenang dengan penjurian diadili oleh golongan profesional dan semua ahli exco SAM tidak terlibat dalam proses penjurian.
Sembilan atlet terbaik telah disenarai pendekkan dengan empat darinya adalah dari sukan Paralimpik untuk merebut Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Paralimpik Terbaik.
Lima atlet tersebut adalah Datuk Azizulhasni Awang dari sukan berbasikal, Datuk Pandalela Rinong dari sukan terjun, pasangan Aaron Chia dan Soh Wei Yik serta Lee Zii Jia dari sukan badminton serta Mohammad Rifdean Masdor dari sukan Muay Thai.
Sementara empat atlet Paralimpik pula adalah Bonnie Bunyau Gustin dari sukan powerlifting, Datuk Abdul Latif Romli olahraga, Chieh Leik Hou dari sukan badminton dan Chew Wei Lun dari sukan Boccia.