PEMAIN muda Kuching City FC, Diego Baggio mengungkap kegembiraan kerana dapat menyambut Hari Natal bersama keluarga dan sahabatnya serta akui sambutan kali ini lebih meriah dan bermakna berbanding musim-musim yang lalu.
Hal ini kerana, pemain berusia 24 tahun itu menceritakan bahawa waktu perayaan Natal tahun lalu, dirinya lebih fokus dan sibuk terhadap jadual yang padat akibat persediaan menjelang musim baru.
Jadi, tahun ini Baggio lebih bersyukur akan kesempatan dan peluang yang diberikan kerana banyak masa untuk diluangkan bersama keluarga tercinta sejurus menghayati santapan kegemarannya semasa Krismas iaitu ayam masak merah.
“Setiap kali perayaan, keluarga saya akan tempah makanan dari katering S.A Kitchen. Saya akan membuat pesanan untuk santapan non muslim dan juga muslim kerana ramai sahabat handai dan saudara saya dari kalangan muslim juga,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan musim 2024, Baggio membalas bahawa dirinya bersyukur masih diberi peluang untuk bersama dengan pasukan Kuching City.
Tambah Baggio yang masih terikat tanpa sebarang gol, dirinya akan memberi 100 peratus komitmen yang baik dan cuba untuk memberi jaringan buat skuad Kuching pada tahun hadapan.
“Saya akan tampilkan prestasi yang lebih baik dan akan memperbaiki permainan saya dari setiap perlawanan yang saya sertai.
“Saya sangat bangga dengan Kuching City FC, gembira dengan pencapaian skuad kami yang kerdil ini. Masalah gaji pun tiada malah tidak pernah masuk lewat,” katanya.
Kuching City FC antara pasukan yang turut bersih dalam segala isu gaji pemain mahupun jurulatih pada musim ini dan perkembangan positif itu telah melayakkan mereka untuk mendapat lesen ke Liga Super musim hadapan dengan mudah.