PENYINGKIRAN pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Piala FA bukan sahaja diratapi para penyokong tetapi juga memberikan kesan mendalam kepada pemilik majoriti kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.

Menerusi hantaran Instagram pada Khamis, Mohd Daud turut merasai kesedihan sama seperti dialami penyokong Sang Kenari.

Malah, katanya sebagai pemilik yang bekerja keras memberikan apa yang diperlukan Sang Kenari, dirinya lebih rasa marah dan geram sampai menggigil badan serta sakit dada.

“Kita sepatutnya menang malam tadi di hadapan ribuan penyokong sejati. Saya geram dan marah. Tapi saya juga rasa tenang dengan peningkatan Sang Kenari dalam semua aspek.

“Mungkin kejayaan belum lagi milik kita. Berapa ramai pemain legenda Kedah dulu mengambil masa untuk bersinar. Bukan sebulan dua, hampir setahun,” katanya.

 

Beliau tetap berterima kasih kepada para penyokong Sang Kenari yang sentiasa bersama KDA FC di belakang pasukan dan meminta maaf atas segala kelemahan perlawanan berkenaan.

“Kita bangkit semula. Ini era pembinaan pasukan baru kita untuk masa hadapan yang lebih dapat dijangka. Kita bergerak daripada pengalaman kepada pembentukan watak dan kemahiran.

“Harapan semua kepada Sang Kenari semalam amat tinggi. Ramai datang ke stadium keramat bagi memberi sokongan yang luar biasa. Stadium bertukar menjadi lautan hijau kuning.

“Sokongan tidak pernah mengecewakan. Pada pengamatan saya, ini adalah persembahan terbaik Sang Kenari dalam empat perlawanan. Semakin nampak kelajuan, keserasian, intensiti, idea dan good football.

“Malangnya, barisan penyerang gagal membuat penyudahan. Tanpa jaringan, tiada ada makna. Saya pun tidak tahu kenapa perkara ini berlaku. Nasib ke? (Beberapa kali bola terkena palang gol). Atau tidak ada ketajaman pemain? ,” ujarnya lagi.