PENYOKONG Sampdoria menzahirkan penghormatan yang bersifat emosional kepada bekas penyerang hebat, Gianluca Vialli, yang meninggal dunia pada Jumaat ketika mencecah usia 58 tahun.

Vialli sebelum ini pernah disahkan menghidap kanser pankreas pada 2017. Tiga tahun kemudian, dia disahkan bebas dari barah namun kembali diserang pada 2021.

Sementara itu, dalam aksi awal pagi Isnin Sampdoria gagal melunaskan kemenangan di laman sendiri apabila terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Napoli apabila tunduk 0-2.

Aksi tersebut menyaksikan Napoli berjaya memperoleh dua gol menerusi V. Osimhen dan E.Elmas manakala tuan rumah hanya beraksi dengan sepuluh pemain setelah T. Rincon dilayangkan kad merah pada minit ke-38.

Sempena memperingati peristiwa kematian legenda itu, kalungan bunga, skarf, baju kelab dan beberapa gambar turut menghiasi Stadium Luigi Ferraris dengan penyokong memakai jersi nombor 9 yang tertera ‘Vialli’ serta sepanduk sebagai penghormatan terakhir kepada wira Sampdoria tersebut.

Legenda Sampdoria itu pernah beraksi bersama pasukan dari 1984-1992, juga menyaksikan dia berjaya meraih gelaran Serie A pada edisi 1990-1991.