DUA gangsa sudah berada dalam genggaman, apabila dua pemain skuasy utama negara, Ng Eain Yow dan S Sivasangari mara ke separuh akhir perseorangan lelaki dan wanita.

Sivasangari tiada masalah mengatasi pemain Korea Selatan, Heo Mingyeong menerusi kemenangan 11-4, 11-2, 11-8 dalam masa hanya 20 minit.

“Hari ini, satu permainan yang baik dari saya, menang 3-0. Saya hanya perlu persiapkan diri untuk esok dan tidak sabar ke final.

“Pada perlawanan tadi, saya benar-benar mahukan habiskan perlawanan secepat mungkin, jimatkan tenaga kerana saya jangka pertemuan dengan Satomi Watanabe (separuh akhir),” kata Sivasangari.

Menurutnya, dia mengenali Satomi sejak di zaman remaja lagi dan pertemuan mereka berdua sentiasa sengit.

Sementara itu, Eain Yow menewaskan Abdullah Almezayen 11-14, 11-6, 11-1 lolos ke separuh akhir, akan berdepan Abdulla Altamimi dari Qatar yang menewaskan Addeen Idrakie Bahtiar 11-2, 11-7, 11-2 di suku akhir.

“Saya aga gementar pada set pertama, perlawanan pun agak sengit, tambahan statusnya sebagai pemenang emas 2014.

“Saya sudah lama tidak melihat permainan dia kerana tidak lagi beraksi di jelajah profesional, cuma dapat mengintai beberapa perlawanan melibatkannya di sini,” kata Eain Yow.

Di separuh akhir esok, Eain Yow boleh menukar kilauan gangsa kepada perak atau emas, sekiranya berjaya mengatasi lawan di separuh akhir.

“Selepas terlepas emas berpasukan lelaki, acara perseorangan ini penting bukan sahaja kepada saya tapi juga negara.

“Sehingga peringkat ini (separuh akhir) tiada lagi perlawanan mudah, namun saya mahu terus fokus kepada diri sendiri sahaja.”