PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahukan tiga mata penuh dalam aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu bagi memastikan skuad Badak dapat memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga.

Selepas berakhir 21 perlawanan, Sabah di tangga keempat dengan 39 mata dan kini mahukan mata maksimum jika mahu merebut kedudukan tempat kedua bersaing bersama Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC.

Sabah juga akan turun tanpa dua tonggak utama iaitu Daniel Ting dan Darren Lok selepas mereka masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan namun Kim Swee tidak menghadapi masalah kerana beberapa pemain lain boleh mengisi kekosongan posisi itu.

Datuk Ong Kim Swee

“Seperti biasa, kita membuat persiapan rapi di mana pemain telah diberikan masa untuk berehat secukupnya selepas perlawanan menentang Kuching City FC dalam aksi Piala Malaysia.

“Kemungkinan terdapat barisan pemain yang berlainan akan diturunkan, tapi apa yang pasti kita akan pastikan dapat mengutip tiga masa penting ketika menentang Negeri Sembilan,” katanya.

Kim Swee juga mahukan pasukannya mencatat kemenangan penting terutama beraksi di laman sendiri bagi mengembalikan keyakinan penonton terhadap mereka.

Penyokong Sabah mencatatkan antara angka kehadiran tertinggi Liga Malaysia musim ini

“Kita harap para penyokong akan turun beramai-ramai serta berharap pemain dapat beraksi cemerlang serta mencatat kemenangan penting dihadapan penonton sendiri,” tambahnya.

Sabah kini bukan sahaja fokus kepada aksi Liga Super dan Piala Malaysia tetapi mereka juga sudah mengetahui lawan di peringkat kumpulan Piala AFC selepas diundi dalam Kumpulan H bersama-sama Haiphong FC, Hougang United dan PSM Makassar.