SABAH FC berjaya mengekalkan rekod cemerlang di laman sendiri apabila mengatasi Selangor FC 2-1 di Stadium Likas.

Kemenangan Skuad Badak itu sekali gus menyekat hasrat skuad Gergasi Merah yang memburu kemenangan Liga Super kelima berturut-turut.

Percubaan demi percubaan awal tuan rumah ke kubu Selangor menguji Samuel Sommerville, namun sepakan lemah daripada Saddil Ramdani dan Telmo Castanheira mengecewakan penyokong tempatan.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee akhirnya mendahului pada minit ke-25.

Baddrol Bakhtiar dijatuhkan dalam kotak penalti dan Saddil tiada masalah menyempurnakannya untuk Sabah mendahului 1-0.

Selangor berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-38 menerusi Faisal Halim namun percubaannya ditepis Khairul Fahmi Che Mat yang sempat melayangkan badan, untuk memastikan babak pertama kekal memihak Sabah.


Tan Cheng Hoe sedar, pasukannya perlu segera bangkit, mencongak percaturan baharu dan hasilnya, selepas tujuh minit perlawanan bersambung Gergasi Merah berjaya menyamakan kedudukan.

Percubaan Faisal menggegar palang dan bola melantun mengena belakang badan Khairul Fahmi sebelum menerjah ke gawang sendiri, menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-52.

Selepas itu, Telmo terlepas sekurang-kurang dua peluang menambah jaringan pada minit ke-57 dan 64.

Sehinggalah minit ke-66, Sang Badak berjaya menambah jaringan kali ini disempurnakan sendiri kapten Baddrol, yang melepaskan sepakan percuma cantik menewaskan Summerville untuk Sabah di depan.

Sabah terus memburu gol untuk memastikan kemenangan selesa, manakala Selangor pula memburu gol penyamaan, namun Sang Badak kental nempertahankan kelebihan dan akhirnya berjaya meneruskan rentak kemenangan apabila kedudukan 2-1 itu kekal hingga ke wisel penamat.