SKUAD Sabah FC tidak akan mengambil mudah cabaran Kelantan FC meskipun sedar masalah yang sedang menimpa pasukan dari Pantai Timur itu menjelang aksi Liga Super yang tertangguh pada Isnin.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu para pemainnya tetap turun ke padang dengan menghormati lawan dan tidak memikirkan berapa jumlah gol yang dapat dijaringkan meskipun akan bermain tanpa empat pemain yang mewakili skuad kebangsaan.
Dari empat perlawanan Liga Super sebelum ini, skuad muda Kelantan sudah melepaskan 36 gol dan Sabah FC boleh menambah derita mereka dengan menjadi pasukan yang melengkapkan 100 gol yang membolosi gawang The Red Warriors musim ini.
“Kita tidak boleh mengambil mudah walaupun bermain tanpa pemain kebangsaan di mana saya percaya pemain-pemain muda pasukan Kelantan pasti ingin membuktikan sesuatu dan kita tidak boleh turun ke padang dan memikirkan berapa jumlah gol.
“Bagi saya kita harus menghormati tanpa mengira pasukan mana sekalipun kerana apa yang penting kita melakukan tugas dengan baik dan pergi seperti mana kita tunjukkan dalam perlawanan-perlawanan yang lepas,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Sabah berada dalam prestasi terbaik selepas berjaya memenangi perlawanan Piala AFC menentang wakil Vietnam, Haiphong FC dan kini kembali fokus kepada dua aksi liga menentang Kelantan dan Terengganu sebelum menyambung semula aksi di peringkat Asia.
The Rhinos bakal melonjak ke tangga keempat Liga Super sekiranya berjaya meraih tiga mata penuh dan meneruskan tekanan kepada Kedah Darul Aman dan Sri Pahang dengan permainan berbaki tiga perlawanan.
Aksi Kelantan dan Sabah ini terpaksa dilangsungkan di Stadium UiTM Shah Alam kerana ketidaksediaan venue di Kota Bharu namun Kelantan kekal sebagai tuan rumah mengikut peraturan Malaysia Football League (MFL).