KEMBALINYA Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Stadium Sultan Ibrahim selepas kecewa di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC terbalas apabila mudah membenam Melaka United dalam aksi Liga Super.

Skuad Harimau Selatan menjadikan Sang Kancil sebagai santapan dengan jaringan 4-0 sekaligus kemenangan keenam berturut-turut dalam liga dan mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan 41 mata.

Bergson Da Silva nyata menjadi mimpi ngeri buat skuad Asri Ninggal apabila menjaringkan hatrik dan meneruskan rekod cemerlang apabila berhadapan Melaka United.

Melaka United yang terpaksa bermain dengan hanya seorang pemain import, Adriano terpaksa menelan kepahitan apabila dia terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan JDT bermaharajalela pada babak pertama untuk mendahului 3-0.

 

Tidak banyak perubahan berlaku pada kem Melaka United pada babak kedua apabila lebih banyak bertahan dengan asakan bertali arus dari anak-anak buah Hector Bidoglio.

Danial Amier Norhisham, Carli De Murga, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad diberi peluang beraksi dan menunjukkan aksi cemerlang dalam membantu Bergson merakam hatrik pada penghujung babak kedua.

Haziq Nadzli yang diberi kepercayaan menjaga gawang menggantikan Farizal Marlias juga berjaya mencatat ‘clean sheet’ yang menggembirakan lebih 10 ribu penyokong merah biru di stadium.

Kemenangan ini menyaksikan JDT kekal di tangga teratas Liga Super manakala Melaka United kekal di tangga kelapan dengan 17 mata.