Foto: KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri setelah menundukkan Selangor FC 3-1 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan serangan bertali arus dipamerkan kedua-dua pasukan namun Ronald Ngah Wanja terlebih dahulu berjaya menceriakan penyokong tuan rumah dengan jaringan pada minit ke – 23.

Gol tersebut jelas menyuntik semangat KDA FC apabila sepakan percuma diambil Syazwan Zainon ditanduk Ronald Ngah sebelum disudahkan Marc Vales Gonzalez pada minit ke-30.

 

Tersentak dengan jaringan tersebut, Gergasi Merah kembali memperkemas serangan menerusi Hein Htet Aung yang melakukan hantaran kemas tepat ke kaki Herlison Caion yang meledak deras untuk merapatkan jurang gol 1-2 buat Selangor.

Di babak kedua, Kedah dilihat terus mempamerkan serangan pantas dan hasilnya muncul pada masa tambahan apabila Muhammad Fayadh Mohd Zulkifli menyumbat masuk gol ketiga Sang Kenari pada minit ke-95.

Kedah kini menghuni kedudukan kelima liga dengan 27 mata manakala Selangor terus gagal mengutip sebarang mata di tempat kelapan dengan 20 mata.