PASUKAN gergasi utara tanah air, Kedah Darul Aman FC berjaya meraih pendapatan kasar sekurang-kurangnya sekitar RM3.3 juta secara kiraan purata hasil penjualan tiket dewasa untuk sepanjang musim 2023.

Ini selepas Kedah berkongsi hantaran di platform media sosial rasminya yang memaklumkan sebanyak 135,352 keping tiket telah terjual bagi jumlah semua 16 perlawanan yang berlangsung di gelanggang keramat mereka, Stadium Darul Aman.

16 perlawanan yang berlangsung di stadium berkapasiti lebih 24,000 tempat duduk itu merangkumi 13 perlawanan Liga Super serta masing-masing satu perlawanan Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup.

Pada musim ini, Sang Kenari menetapkan tiga kategori harga bagi penjualan tiket dewasa di Stadium Darul Aman iaitu RM15, RM25 dan RM35 masing-masing bagi kategori Terbuka, Pavilion dan Grandstand.

Berdasarkan kiraan kasar, sekiranya 135,352 keping tiket tersebut dijual pada harga RM25 – purata harga ketiga-tiga kategori tiket – Kedah akan meraih kutipan sekurang-kurangnya sebanyak RM3,383,800 pada musim ini.

Sebagai rekod, aksi perlawanan kedua Liga Super antara Kedah dan Terengganu FC yang terjual sebanyak 20,933 keping adalah kehadiran tertinggi musim ini manakala perlawanan ke-23 menentang Negeri Sembilan FC yang berlangsung pada waktu petang merekodkan kehadiran terendah dengan hanya 1,164 keping tiket sahaja dijual.

Secara puratanya, Kedah merekodkan jualan sebanyak 8,459 keping tiket bagi setiap perlawanan pada musim ini tetapi angka ini tidak termasuk jualan pas bermusim yang turut disediakan kepada semua penyokong sejati Sang Kenari.

Dari 16 perlawanan di tempat sendiri, Kedah mencatatkan sepuluh kemenangan, satu keputusan seri ketika menentang Johor Darul Ta’zim dan lima kekalahan dalam empat kejonanan yang disertai musim ini.