BEKAS pemain Terengganu FC, Habib Haroon sah akan bersama dengan pasukan Kedah Darul Aman FC bagi saingan bola sepak musim 2024-2025 ini.
Perkara ini telah dinyatakan sendiri menerusi satu kiriman yang dimuat naik ke laman Instagram rasmi pasukan, yang gembira mengumumkan kehadiran pemain kelahiran Bahrain itu bagi melengkapkan bahagian tengah Sang Kenari.
Aksi cemerlang yang ditampilkan oleh pemain berusia 23 tahun ini telah mencuri perhatian Kedah FC sekali gus mencapai kata sepakat untuk mengambil khidmatnya ke dalam pasukan tersebut.
“Dengan kreativiti beliau dibahagian tengah, tidak hanya membuat umpanan berbahaya kepada rakan tetapi turut menghasilkan gol dari sudut sukar.
“Pemain berusia 23 tahun ini memilih untuk berjuang di kem Sang Kenari musim 2024/25 sekali gus penyatuan semula dengan Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain yang turut mengendalikan Terengganu FC sebelum ini.
“Khidmat Habib akan memperkuatkan bahagian tengah Sang Kenari dengan rangkaian pemain tempatan yang lain,” menurut kenyataan yang dimuat naik.
Dalam masa yang sama, pihak Kedah FC turut memaklumkan bahawa Habib yang akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas pasa petang ini akan disambut oleh pengurusan kelab, pasukan dan ketua jurulatih bagi meraikan kedatangan ke bumi jelapang padi sebagai pemain Sang Kenari.
Untuk rekod, Habib telah berjaya menghasilkan tiga gol dan empat bantuan jaringan dalam kesemua 69 perlawanan sepanjang tiga musim berada di Terengganu FC.