PASUKAN Kedah Darul Aman FC kini memberikan gambaran akan kekal bersaing di Liga Super 2024-25 selepas dilihat mula aktif memperkenalkan pemain di laman sosial rasmi kelab bagi menghadapi musim baharu yang bermula pada Mei.

Kedah dikatakan mempunyai masalah kewangan yang meruncing sehingga pengelola liga, Malaysian Football League (MFL) terpaksa memberikan masa tambahan buat mereka sehingga 5 Mac bagi memastikan masalah ini dapat diatasi atau diturunkan ke Liga MBSB Bank Championship.

Skuad Kenari sebelum ini telah membuat kenyataan media yang menyatakan mereka sudah mempunyai penaja baharu buat musim 2024-25 namun wang tajaan itu hanya akan disalurkan bermula April 2024 dan kini berusaha mencari dana tambahan.

Bersempena hari ulang tahun kelahiran pemilik majoriti kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar, Kedah seakan-akan memberikan harapan baharu buat para penyokong selepas mengumumkan kemasukan empat pemain baharu yang sudah tidak asing dengan Sang Kenari.

Selepas mengumumkan lapan pemain import musim lalu tidak lagi bersama pasukan dan mengekalkan 14 tonggak tempatan, Kedah membuat pengumuman membawa masuk Syafiq Ahmad yang berstatus pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Tidak cukup dengan kehadiran Syafiq Ahmad, ibarat sirih pulang ke ganggang, Kedah mengumumkan kehadiran semula Rizal Ghazali serta duo pertahanan di Sabah FC, Irfan Zakaria sebagai pemain baharu kelab.

Empat pemain baharu yang membawa cabaran Sang Kenari di musim 2024-25

Barisan pertahanan Kedah juga bakal diperkuatkan bekas pemain Negeri Sembilan FC, Zamri Pin Ramli yang menyertai Sang Kenari musim ini sekaligus melengkapkan perpindahannya selepas dua musim menabur bakti di Paroi.

Kedah sememangnya serius untuk terus beraksi di Liga Super selepas berjaya menamatkan musim 2023 di tangga keempat dan muncul satu-satunya pasukan yang berjaya mencuri mata dari JDT sepanjang 26 perlawanan liga.

Selamat maju jaya diucapkan buat Kedah Darul Aman FC dan selamat ulang tahun kelahiran buat Tan Sri Mohd Daud Bakar.