FINALIS Piala Malaysia, Terengganu FC (TFC) terpaksa berputih mata di laman sendiri apabila tumpas 0-4 di tangan Sabah FC dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Sabah mengutip 48 mata di tempat keempat mengekori rapat Kedah Darul Aman (KDA) manakala TFC kekal tempat keenam dengan 36 mata.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee hanya memerlukan enam minit untuk membuka jaringan hasil percubaan akrobatik Ramon Machado yang menerima umpanan Rizal Ghazali dari sebelah kanan.

Sabah nyaris menggandakan kedudukan minit ke-11 namun sepakan ketua pasukan, Park Taesu terkena tiang ketika penjaga gol tuan rumah, Mohd. Suhaimi Husin sekadar terkaku di kedudukannya.

Memasuki minit ke-29, gawang TFC bocor buat kali kedua berpunca serangan balas dari bawah sebelum pemain sayap, Saddil Ramdani melepaskan rembatan dari luar kotak yang menerjah jaring.

Sang Penyu memiliki peluang terbaik untuk merapatkan jurang malangnya percubaan ketua pasukan, Habib Haroon (m-38) di kawasan berbahaya tepat ke dakapan Khairul Fahmi Che Mat.

Dua minit selepas itu, Rizal yang cemerlang di posisi bek kanan sekali lagi membuat hantaran kali ini disudahkan dengan sempurna oleh Garrido Cifuentes untuk gol ketiga Sabah.

Kesilapan pemain TFC, Norhakim Hassan nyaris menghadiahkan gol keempat mujur Mohd. Suhaimi dapat menyelamatkan percubaan Machado (m-43) dan kedudukan 3-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Sabah menambah derita TFC setelah Jafri Firdaus Chew mudah menolak masuk bola umpanan Machado dari sebelah kiri untuk gol keempat pasukannya.

Hasrat TFC memperoleh gol saguhati tidak kesampaian apabila jaringan Ivan Mamut minit ke-85 dibatalkan kerana ofsaid sekaligus malam serba tidak menjadi buat Sang Penyu.

Selesa dengan empat gol tanpa balas, Sabah memperlahankan rentak dan berjaya mempertahankan kelebihan sehingga pengadil, Mohd. Nafeez Abd. Wahab menamatkan perlawanan.