TERENGGANU FC (TFC) kembali ke landasan kemenangan selepas menang tipis 1-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) hasil jaringan tunggal Engku Nur Shakir Engku Yaacob, Isnin malam.

Beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner mula menguji kubu pelawat menyaksikan sepakan gunting Adisak Kraisorn minit kesembilan tersasar dari sasaran.

Tiga minit kemudian, penyerang Thailand itu berjaya menolak masuk bola umpanan Azam Azmi Murad dari sebelah kanan namun terlebih dahulu dikesan dalam kedudukan ofsaid.

KDA selepas itu mengatur gerak melalui percubaan jarak jauh Manuel Hidalgo dan Amirbek Juraboev minit ke-14 namun tinggi melepasi pintu gol TFC yang dikawal Mohd. Suhaimi Husin.

Memasuki minit ke-16, kedudukan akhirnya berubah selepas Engku Nur Shakir menyambut larian solo Azam Azmi dengan percubaan luar kotak penalti menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim.

Gol itu menyuntik moral TFC yang hampir melebarkan kedudukan menerusi gerakan satu dua Sony Norde dan Habib Haroon tetapi rembatan derasnya sedikit tersasar ke sebelah tepi.

TFC dan KDA memiliki peluang menuju bilik persalinan malangnya percubaan Nik Sharif (m-37) dan bek kanan, Wan Amirul Afiq Wan Ab. Rahman (m-44) menggegar tiang.

Aksi babak kedua bersambung dengan Nik Sharif terus mensia-siakan peluang satu lawan satu berpunca umpanan menarik pemain gantian, Syahmi Zamri minit ke-54.

Sembilan minit bersambung babak kedua, TFC mencemaskan pelawat apabila bola umpanan Muhammad Syahmi Zamri singgah di kaki Nik Sharif sebelum tolakannya dinafikan penjaga gol.

KDA yang beraksi tanpa perancang tengah, Manuel Ott dan Lee Tuck serta pengendali, Nafuzi Zain di bangku simpanan tampak hilang bisa selepas gagal menembusi kubu TFC.

TFC sebaliknya hampir memperoleh gol kedua namun tolakan Alif Zakaria minit ke-81 dikeluarkan Bojan Ciger di atas garisan gol sebelum tindakan susulannya ditepis Ifwat Akmal.

Kekebalan mempertahankan kelebihan satu gol membolehkan TFC menamatkan aksi dengan tiga mata penuh sehingga wisel ditiup pengadil, Mohamad Zamzaidi Katimin.