TERENGGANU FC (TFC) dan Kedah Darul Aman (KDA) masing-masing sama handal apabila seri 1-1 dalam aksi kedua Agarbomb Performance Cup di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Jumaat malam.
Babak pertama berlangsung seimbang namun sedikit terjejas gara-gara hujan lebat sejak awal permainan memaksa kedua-dua pasukan mempamerkan corak berhati-hati.
Saingan hanya rancak selepas rehat menyaksikan bola rembatan leret Ismaheel Akinade meletakkan TFC satu gol di depan berpunca kelekaan pertahanan KDA pada minit ke-48.
Skuad Penyu yang menurunkan kesebelasan utama sama ketika bertemu Penang FC hampir memperoleh gol kedua pada minit ke-54 tetapi sepakan bebas Safawi Rasid melambung tinggi.
Memasuki minit ke-58, kedudukan kembali seimbang apabila sepakan percuma Sukhrob Nurulloev gagal ditangkap kemas Mohd. Suhaimi Husin sebelum Mohd. Akmal Zahir mudah menjaringkan gol penyamaan.
Anak-anak buah Nafuzi Zain turut berpeluang memimpin permainan pada minit ke-65 malangnya percubaan pemain gantian, Mohamad Fayyadh Zulkifli sekadar menggegar jaring tepi.
Hasrat TFC untuk muncul pemenang juga tidak kesampaian selepas hantaran lintang Norhakim Hassan dari sebelah kiri gagal disambar Syahmi Zamri lima minit sebelum tamat.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat dengan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-Gon turut hadir menilai prestasi beberapa pemain bagi kem latihan skuad kebangsaan.
Dalam satu lagi pertemuan aksi pemanas badan empat penjuru itu, Penang FC tersungkur di tangan TFC II dengan jaringan 2-4 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
TFC dijadualkan bertemu TFC II manakala KDA melawan Penang FC untuk melengkapkan jadual Agarbomb Performance Cup 2024 pada Ahad.