SKUAD Terengganu FC memadam impian Kuala Lumpur (KL) City FC untuk memenangi perlawanan pada malam Sabtu, sekali gus memberi kekecewaan kepada pasukan tuan rumah dengan keputusan 2-0.

Pada awalnya, KL City FC tampak mendominasi permainan dan dilihat cuba mencari ruang untuk menjaringkan gol pembukaan namun gagal kerana tidak berjaya melepasi pertahanan Sang Penyu.

Permainan yang tidak begitu mencabar, ditambah dengan lampu limpah yang tiba-tiba terpadam telah menghentikan perlawanan. Pada minit ke-25, saingan terus bersambung menyaksikan kedua-dua pasukan terus memberi asakan satu sama lain.

Dalam masa yang sama, satu sepakan padu oleh pemain The City Boys, Haqimi Azim tersasar ke luar gawang gol Terengganu FC. Manuel Ott yang melihat peluang untuk menjaringkan gol akhirnya dapat menyempurnakan sepakannya dengan baik.

Skuad Terengganu FC pulang dengan tiga mata penuh.

Gol pertama buat Sang Penyu pada minit ke-45 (masa tambahan) itu memberi kelebihan buat mereka di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sejurus mengikat keputusan 0-1 pada babak pertama.

Semangat baharu terserlah pada skuad kendalian Tomislav Steinbruckner menjelang separuh masa kedua, dan ia dibuktikan menerusi satu sepakan percuma yang diambil Safawi Rasid pada minit ke-69 yang berjaya meluru masuk ke gawang gol KL City FC.

1,376 penyokong yang hadir ke Cheras menjadi saksi kemenangan Terengganu FC, dan penyokong tuan rumah terpaksa pulang dengan kehampaan apabila tewas kepada pasukan pelawat.