Kredit Foto – TFC

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, menamakan empat pemain Penang FC yang perlu diberi perhatian menjelang aksi kedua-dua pasukan, malam esok.

Antaranya gandingan penyerang import, Soony Saad dan Adriano Narcizo serta dua bekas pemain tengah Sang Penyu, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Rahmat Makasuf.

Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata, TFC hanya berpeluang memenangi pertemuan Liga Super itu sekiranya kelibat empat pemain itu berjaya dikawal benteng pertahanannya.

“Kita telah kaji corak permainan Penang FC dan tidak dinafikan kualiti yang ada pada pasukan itu. TFC harus bersedia dengan tentangan yang akan diberikan pihak lawan.

“Apa yang melegakan, persembahan Sony Norde kembali pada tahap terbaik selepas meledak dua gol dengan Sabah, Jumaat lalu dan pemain lain juga perlu menunjukkan prestasi sama.

“Saya harap anak-anak buah dapat kembali ke landasan kemenangan dengan memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri,” ujarnya ketika ditemui FLASH SUKAN pada Isnin.

Sementara itu persiapan TFC terjejas dengan ketiadaan dua tonggak import iaitu ketua pasukan, Habib Haroon dan penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn.

Steinbruckner berkata, Habib diketepikan akibat penggantungan perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning manakala Adisak berada dalam senarai kecederaan.

“Sudah tentu kehilangan Habib sebagai jeneral di bahagian tengah akan dirasai apatah lagi dia ketua pasukan kami namun (Domagoj) Pusic mampu mengisi kekosongan itu.

“Adisak mengalami kecederaan belakang dan memerlukan 10 atau 14 hari lagi. Apa melegakan kami adalah kembalinya (Ivan) Mamut yang terlepas aksi terdahulu akibat penggantungan,” ujarnya.