PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee nyata kecewa dengan kekalahan pada minit terakhir namun menerima kekalahan ini dan mahu para pemain untuk mengawal perasaan mereka ketika perlawanan.

Kim Swee juga tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam kekalahan ini kerana menganggap ianya adalah sebahagian daripada permainan dan mahu memastikan Sabah FC kembali bangkit untuk perlawanan selepas ini.

“Ianya sangat mengecewakan untuk tewas di minit terakhir. Sangat sukar diterima. JDT bermain seperti biasa namun kita berjaya mengekang mereka tetapi hanya sepakan percuma memisahkan Sabah dan JDT.

“Saya perlu melihat kembali insiden sepakan percuma itu. Kita perlu melihatnya dari sudut yang lebih luas. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana ianya sebahagian daripada permainan ini. Kita juga perlu mengawal diri kami terutama ketika akhir perlawanan.

“Ianya sungguh mengecewakan tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa JDT adalah pasukan yang baik. Mereka bermain mengikat pelan mereka. Kita perlu belajar dari mereka dan perlu bangkit dengan minda yang betul untuk perlawanan selepas ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kedua-dua pasukan ‘panas’ hampir mencetuskan pergaduhan.

Bekas pemain Sabah dari 1994 hingga 1997 itu turut berterima kasih kepada semua penyokong dan berharap agar mereka dapat meneruskan memberi sokongan kepada pasukan Sabah FC.

Beliau turut berpesan kepada para penyokong agar tidak berkelakuan ganas membaling botol ke arah pemain lawan seperti apa yang berlaku pada perlawanan tadi.

“Terima kasih kepada semua penyokong yang hadir dan teruskan sokongan pada perlawanan akan datang. Tetapi janganlah berkelakuan seperti tadi kerana ianya mencemarkan imej penyokong Sabah,” tambah Kim Swee.

Ditanya mengenai prestasi Jose Embalo pada perlawanan ini, Kim Swee menyatakan bahawa beliau berhadapan dalam satu perlawanan yang sukar kerana dua pertahanan JDT menutup ruang lebih awal.

“Dan atas sebab inilah JDT adalah pasukan yang baik dan kita perlu banyak belajar dengan mereka.”