KEDAH Darul Aman (KDA) FC terus rancak membawa masuk pemain baharu untuk baki saingan Liga Super musim 2022 apabila mengumumkan Sanrawat Dechmitr bagi memperkuatkan jentera tengah berstatus pemain pinjaman.

Menerusi ciapan Twitter @kda_fc pada Jumaat, kehadiran Sanrawat akan mengisi slot Asean menggantikan Dennis Buschening yang masih dalam pemulihan kecederaan.

“Kehadirannya bakal diuji seawal malam ini dan akan turut menjadi tonggak saingan Piala AFC hujung bulan ini.

“Pengalaman Sanrawat sebagai pemain kebangsaan Thailand dan antara pemain senior di Bangkok United FC pasti menjadi tumpuan, antaranya karakter dan fizikal yang cukup dikenali bagi menggerunkan lawan,” menurut ciapan itu.

Untuk rekod, dia pernah bermain dalam Liga Juara-Juara AFC musim lalu untuk Ratchaburi Mitr Phol dan beraksi menentang Johor Darul Ta’zim.

Kemasukan Sanrawat,32 mengingatkan kepada pasukan jiran tetangga, Perlis apabila Kiatisuk Senamuang dibawa masuk pada tahun 1998 menyertai mereka.