ISU ‘perang dingin’ melibatkan kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali hangat diperkatakan di media sosial.

Semalam, penyerang JDT, Fernando Forestieri ‘menujukan’ kemenangan Piala FA 2022 yang dimenangi khas untuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi MD Nor.

Hari ini, menerusi TikTok, Sanusi yang juga Presiden KFA itu membalas secara berseloroh dengan menyatakan pemain JDT tidak pandai cakap Johor.

“Tahniah JDT menang Piala FA semalam, sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor,” tulisnya.

Bagaimanapun, Presiden Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC), Zulkifli Hashim menggesa Sanusi tidak menjadi kebudak-budakan kerana tidak membawa sebarang faedah dan keuntungan buat pasukan bola sepak Kedah.

“JDT mempunyai pasukan yang serba lengkap jauh lebih beza dari kita. Bukan saya memaksa tuan presiden KFA mengikut apa yang mereka lakukan, tetapi saya ingin melihat bola sepak Kedah lebih maju berjaya dari sebelum ini.

“Harus ingat bola sepak kita masih lagi lemah. Ini bola sepak bukan medan politik sentiasa berkempen kononnya diri itu sentiasa betul.

“Hero yang sebenar adalah orang yang memajukan bola sepak Kedah seperti yang pernah dilakukan oleh Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Ahad.

Pada masa sama, Zulkifli mengakui Sanusi berjaya melangsaikan hutang-hutang yang ditinggalkan oleh individu pernah terajui persatuan berkenaan.

“Saya beri kepujian kepada beliau. Tapi, masa inilah anda perlu buktikanlah bahawa anda lebih baik dari sebelum ini. Jangan hanya bercakap banyak tanpa sebarang tindakan, ianya amat merugikan,” ujarnya lagi.

Zulkifli berkata, bukan niatnya untuk menjatuhkan sesiapa dan langsung tidak mewakili penyokong bola sepak bendera politik.

“Saya bersuara untuk menyedarkan supaya tidak lagi terus tidur dibuai mimpi indah.

“Jika kita terus tidur kita akan memberi ruang kepada orang lain sentiasa diatas. Bola sepak maruah kita, Hijau kuning jiwa kita,” katanya.