HASRAT atlet lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi menggunakan galah baharu sebagai persiapan ke Sukan Asia Hangzhou masih belum dipenuhi dan atlet itu merayu agar usaha mendapatkannya diselesaikan secepat mungkin.

Menurutnya, galah baharu itu diperlukan ke temasya Hangzhou, selepas galah sedia ada kini tidak dapat menampung keperluan dirinya terutama ketika dia melayangkan diri untuk melepasi halangan.

Sarah berkata, permintaan mendapatkan galah berkenaan sudah diusulkan sejak tahun lalu dan atlet berusia 23 tahun itu sebenarnya berharap ia dapat digunakan sebelum temasya Sukan Sea Kemboja lagi.

Galah lama tidak sesuai menampung kelajuan dan momentum Nor Sarah Adi.

“Galah baharu itu sangat diperlukan. Ia satu keperluan sebab galah sekarang dah tak sesuai dengan ketinggian dan dengan kelajuan larian saya, galah sedia ada tak mampu menampung kapasiti yang saya berikan.

“Saya rasa seperti lompat tak puas dan galah itu tak mempunyai daya lonjak untuk membantu menjulangnya ke atas.

“Tak dapat guna di Sukan Sea tak mengapa dan sebenarnya saya harap dapat guna di WUG (Sukan Universiti Dunia) di Chengdu, China untuk saya serasaikan diri dengan penggunaan galah baru sebelum ke Sukan Asia.

“Tapi sampai sekarang masih belum diperoleh. Saya bertanyakan perkembangan terkini tapi dikatakan masih dalam proses,” katanya.

Jelas pemenang pingat emas Sukan Sea Hanoi itu, untuk sesuaikan diri dengan galah baharu dia memerlukan lebih kurang satu bulan dan banyak faktor yang perlu diambil kira sekiranya ingin memperbaiki catatan rekod peribadinya iaitu 4.05 meter (m).

Nur Sarah Adi akan berlari dalam acara 4x100m di WUG.

Walau bagaimanapun Sarah yang bakal beraksi dalam acara lompat bergalah di WUG tetap akan memberikan yang terbaik dengan sasaran 4.10m sekali gus layak secara merit ke Sukan Asia.

Dia akan turut beraksi dalam acara 4x100m bersama Nur Aishah Rofina Aling, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, Azreen Nabila Alias atau Chelsea Cassiopea Evali Bopulas di WUG.

“Sebenarnya saya harap dapat gunakan galah berkenaan di WUG jadi saya ada masa untuk suaikan diri dengan pertandingan.

“Tapi sampai sekarang masih tak sampai juga, jadi tak mengapalah,” katanya.

Terdahulu Sarah yang tidak menyertai Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand kerana memberi tumpuan kepada pemulihan kecederaan koyak ligamen kaki kanan dialaminya sebelum Sukan Sea Kemboja.