BANYAK yang dipertaruhkan apabila kontrak ketua jurulatih olahraga, Manshahar Abdul Jalil tamat secara automatik selepas mencecah usia persaraan, terutamanya persiapan atlet lompat bergalah wanita negara, Nur Sarah Adi.

Tenang dengan segala yang berlaku, Nur Sarah menaruh harapan untuk dia kekal berlatih di bawah Manshahar Abdul Jalil untuk sekurang-kurangnya tiga bulan lagi bagi melakukan persiapan menghadapi Sukan SEA Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.

Manshahar yang sebelum ini memikul tugas selaku ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan sejak 2019 mencapai usia persaraan, awal tahun ini.

Nur Sarah, 22, berkata, walaupun ketika ini Manshahar tidak lagi memikul tangunggjawab sebagai ketua jurualtih, dia tetap berharap jurulatih itu terus membimbingnya.

“Buat masa ini, saya masih berlatih dengan jurulatih Mansahar tetapi saya tidak tahu lagi apa yang akan terjadi untuk akan datang. Saya harap saya akan bersama dengannya sehingga Sukan SEA.

Manshahar Abdul Jalil sudah mencecah usia persaraan dan tidak lagi bergelar ketua jurulatih olahraga kebangsaan.

“Hujung minggu ini saya ada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan, dan kalau ikutkan perancangan, saya akan menyertai beberapa lagi kejohanan sebagai persediaan ke Sukan SEA antaranya Kejohanan Olahraga All Comers Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kalau jadi, saya juga akan berangkat ke Taiwan pada Mac untuk satu kejohanan dalam dewan di sana, tetapi semuanya bergantung kepada MSN,” kata Nur Sarah yang sudah berlatih di bawah bimbingan Mansahar sejak April tahun lalu.

Manshahar adalah watak penting yang mencaturkan langkah untuk menyenaraikan Nur Sarah pada saat akhir beraksi dalam acara lompat bergalah pada Sukan SEA Hanoi, tahun lalu.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila Nur Sarah memenangi pingat emas dengan melakukan lompatan empat meter (m).

ARTIKEL BERKAITAN : Manshahar bersara, sudah ada calon pengganti

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Wira Mark Ling mengesahkan sudah mencapai kata sepakat berhubung calon yang bakal menggantikan tempat Manshahar Abdul Jalil dan perkara itu akan diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Difahamkan, segala perancangan pelantikan dan penggajian jurulatih terhenti sehingga pembentangan bajet diselesaikan di Parlimen bulan ini.