PENYERANG kebangsaan yang sedang meningkat naik, T. Saravanan mempunyai perasaan yang bercampur baur sejurus tamat kempen Sukan SEA ke-32 di Kemboja.
Saravanan muncul penjaring terbanyak buat skuad negara dengan empat gol hasil empat jaringannya ketika membantu Malaysia membelasah Singapura 7-0 namun kecewa kerana gagal layak ke peringkat separuh akhir sekaligus bersaing untuk merebut pingat emas.
Namanya kini menjadi sebutan namun anak muda berusia 22 tahun itu tidak mahu dibuai kejayaan dan mahu terus merebut aksi bersama kelab dan akan bekerja keras untuk memberikan segala-galanya untuk menyaingi pemain import di peringkat kelab.
“Untuk Sukan SEA tahun ini kami dah berikan yang terbaik tetapi tiada rezeki untuk pergi pusingan seterusnya. Pemain semua dah berikan segalanya tetapi kita tidak dapat putuskan keputusan itu. Selepas ini kami akan perbaiki pasukan dan lebih banyak yang akan datang daripada pasukan ini.
“Pada saya tidak ada apa yang kurang. Pemain semua bagus dan beri segalanya termasuk lakukan apa yang diarahkan dalam latihan.
“Cuaca di sana memang panas tetapi tidak boleh dijadikan alasan kerana itu adalah tugas kami sebagai pemain bola dan keadaan padang memang teruk kerana bola melantun-lantun.
“Apa yang jurulatih buat semuanya menjadi dan kami sudah berusaha cuma kami tidak ada rezeki,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN sejurus tiba dari Phnom Penh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Saravanan turut berasa gembira kerana turut menyumbangkan gol buat pasukan negara di Kemboja.
“Secara peribadi, saya berpuas hati dengan persembahan saya sehingga berjaya menjaringkan empat gol, kali kedua saya lakukan perkara ini. Saya pernah jaringkan empat gol sebelum ini diperingkat junior cuma ini kali pertama di peringkat kebangsaan tetapi ada sedikit kesal kerana tidak dapat layak ke separuh akhir dan ini menjadikan perasaan saya bercampur baur.
“Selepas ini saya mahu berikan aksi terbaik buat kelab pula selepas ini serta akan cuba untuk menyaingi pemain import bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama di peringkat kelab,” tambahnya.
Empat jaringan Saravanan ketika membelasah Singapura 7-0 pada saingan peringkat kumpulan selepas tewas kepada Vietnam dan Thailand.