PASUKAN tuan rumah, Sarawak United FC berputih mata setelah dibenam KL City FC, 1-2, dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Negeri Sarawak pada Selasa.
Tuan rumah, Sarawak United FC bermula garang dengan asakan bertali arus ke kubu lawan menerusi S. Chanturu yang melepaskan rembatan kencang pada minit ke-15 babak pertama menewaskan penjaga gol utama KL City FC, Kevin Mendoza meletakkan tuan rumah mendahului 1-0.
Enggan mengalah, KL City FC memperkemas serangan dan berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi Paulo Josue pada minit ke 36 sekaligus mengikat kedudukan 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua pula menyaksikan perlawanan kelihatan seimbang namun tuah memihak kepada pasukan pelawat, Kl City FC menerusi satu ledakan pemain gantian J. Partiban pada minit ke – 89, yang menewaskan penjaga gol Sarawak United FC, Sharbinee Allawee, sekaligus mendahului 2-1 sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan 2-1 KL City FC menyaksikan pasukan Ibukota memungut tiga mata penuh bagi menghuni tangga kelima liga dengan 13 mata manakala pasukan tuan rumah kekal di tempat ke-10 dengan 7 mata.