KETUA Pegawai Eksekutif MFL (Liga Bolasepak Malaysia), Stuart Ramalingam memaklumkan rayuan permohonan lesen kelab Melaka United FC dan Sarawak United FC untuk terus berada di Liga Malaysia telah ditolak secara rasmi.
“Bagi pihak Jawatankuasa Rayuan Perlesenan Kelab atau Appeals Body yang telahpun bermesyuarat dan mengeluarkan keputusan bahawa rayuan Sarawak United dan Melaka United FC telahpun ditolak,” katanya semasa sidang media di Pejabat MFL di Kelana Jaya.
Berdasarkan rayuan tersebut mengikut artikel 3.4.4, rayuan Melaka United dan Sarawak United tidak diterima dan keputusan sebelum ini kekal buat pasukan tersebut untuk terus kekal di Liga Malaysia.
“AB telah mempertimbangkan rayuan MUFC dan SUFC berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang telah menolak permohonan Lesen Kebangsaan bagi kitaran 2022 pada 12 Oktober 2022 selaras dengan Artikel 3.4.4,” katanya.
Tambah Stuart, struktur di bawah MFL iaitu AFL (Liga Amatur Malaysia) mungkin mempunyai pandangan berbeza terhadap status terkini kedua-dua pasukan samada mereka mungkin diberi kebenaran beraksi tetapi segala-galanya perlu dimuktamadkan AFL.
“Dalam struktur, apa yang dibawah naungan MFL, kita tidak boleh menerima Melaka dan Sarawak untuk bertanding tetapi tidak bermakna mereka perlu tutup atau tidak lagi bermain bola.
“Namun kita ada struktur di bawah MFL iaitu AFL dan di situ mungkin ada satu kedudukan untuk kedua-dua pasukan ini.
“Sekarang kita tiada Liga Premier tahun depan, hanya Liga Super, dan kita punyai liga di bawah AFL iaitu Liga M3 namun ia adalah liga di tahap pembangunan, ” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN : MUFC, SUFC sah tidak layak beraksi dalam Liga Super 2023
Enggan mengulas lanjut, Stuart hanya menambah bahawa segala maklumat tentang sebab sebenar kedua-dua pasukan digugurkan tidak boleh dibongkar kerana ianya bersifat sulit.