SARAWAK United FC mengesahkan mereka masih akan beraksi untuk musim 2023 dan kini dalam proses mempersiapkan pasukan meskipun berhadapan pelbagai masalah dan cabaran tahun ini.

Perkara ini disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab yang turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh pemain, staf, barisan kejurulatihan dan penyokong yang setia bersama pasukan.

“Berakhirnya aksi untuk musim ini menyaksikan Sarawak United FC menutup tirai di Liga Malaysia 2022 dengan pencapaian seperti berikut Pusingan Kedua Piala FA, Ke-11 Liga Super dan Pusingan 16 Piala Malaysia.

“Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran dan rintangan, para pemain dan staf kejurulatihan telah memberikan yang terbaik untuk memastikan Sarawak United FC terus mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

“Apapun yang telah berlaku, persiapan pasukan sedang berjalan dan pihak pengurusan komited untuk terus memperbaiki segala kelemahan dan juga membentuk pasukan yang lebih baik untuk saingan musim depan, InshaAllah.

“Kepada semua pemain, staf kejurulatihan, penyokong setia The Golden Hornbills dan warga kerja Sarawak United FC termasuk skuad Piala Presiden dan Piala Belia, setinggi-tinggi penghargaan dan Terima Kasih diatas usaha, penat lelah dan pengorbanan anda semua, tulis kenyataan itu.

 

Awal November 2022 lalu, satu kenyataan media telah dibuat oleh Pengerusi Sarawak United FC, Datuk Posa Majais yang mempelawa mana-mana individu yang berminat untuk menggalas jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak merangkap Pengerusi Sarawak United FC.

Sarawak United disingkirkan dari saingan Liga Super 2023 selepas gagal mendapatkan lesen penyertaan selepas didapati tidak menepati pelbagai kriteria umum First Instance Body (FIB) Malaysia Football League.