PENANG FC menanggung kekalahan keempat berturut-turut dalam Liga Super apabila tewas kepada Sarawak United 2-3 dalam aksi yang menarik di Stadium Bandaraya.

Hasrat pengendali, Zainal Abidin Hassan yang mahukan kemenangan kerana ingin memperbaiki kedudukan dalam liga disekat barisan S.Balachandran yang tiga kali mendahului sebelum bergelar pemenang.

Meskipun beraksi di laman sendiri, Penang FC dikejutkan menerusi jaringan awal Nor Azizi Ramlee yang merembat deras dari luar petak penalti selepas pertahanan Penang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Namun Lucas Silva berjaya menggembirakan penyokong tuan rumah apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-17 namun Sarawak sekali lagi di hadapan menerusi Uche Agba pada minit ke-28.

Berselang dua minit, Lucas Silva sekali lagi menyamakan kedudukan selepas mendapat hantaran Gopi Rizky untuk keputusan 2-2 kekal sehingga tamat babak pertama.

Tidak banyak perubahan berlaku pada babak kedua dengan Penang FC lebih menguasai permainan dan mempunyai banyak peluang menjaringkan gol namun dihampakan penjaga gawang Sarawak United.

Kekasaran yang dilakukan oleh Rafael Vitor enam minit sebelum tamat mengundang padah apabila sepakan percuma yang diberikan menghasilkan jaringan apabila Gonzalo Soto menolak masuk bola muntah sepakan percuma Uche Agba.

Tidak banyak yang dapat dilakukan Penang FC selepas itu dan terpaksa menelan satu lagi kekalahan dan kini semakin jauh terperosok di dasar Liga Super dengan hanya satu kemenangan dari 14 perlawanan.

Sementara itu dengan kemenangan ini, Sarawak United berjaya melonjak ke tangga kesembilan dengan 13 mata dan berjaya menamatkan rentetan tiga kekalahan sebelum ini.