BAYANGAN 18 pemain terakhir bakal mewakili negara sudah berada dalam congakan ketua jurulatih Sarjit Singh, namun dirinya tetap mahu melanjutkan penilaian apabila akan menyenarai pendek 30 pemain bagi menyertai fasa kedua kem latihan pasukan hoki kebangsaan bulan hadapan.

Menurutnya, 18 daripada pemain yang bakal terpilih itu dinilai menerusi prestasi dalam latihan teknikal serta perlawanan persahabatan yang dianjurkan dalam latihan.

“Sambutan dan kehadiran cukup baik. Ada beberapa pemain yang menunjukkan corak permainan memuaskan dan terbaik.

“Pemain bermain dengan sangat baik dan saya harap ini berterusan dalam baki perlawanan akan datang,” katanya.

Pemain digesa mempamerkan kesungguhan sebelum barisan 46 pemain dikecilkan kepada 30 dan akhirnya 18 yang akan menggalas cabaran ke Piala Sultan Azlan Shah.

Seramai 46 pemain dipanggil dalam latihan pemilihan untuk mewakili The Speedy Tigers pada fasa latihan fasa pertama, dibahagikan kepada tiga pasukan berbeza kerana Sarjit mewujudkan persaingan secara berpasukan dan menganjurkan lapan perlawanan antara tiga pasukan terbabit.

Secara keseluruhan mereka akan dapat bermain 480 minit dengan pemain akan mempunyai masa bermain minimum 320 minit.

Selain itu, Sarjit berkata, fasa latihan seterusnya menyaksikan 30 pemain terbaik akan terpilih dengan latihan akan bermula 1 April ini.

“Walaupun masih terlalu awal, kami sudah mengenal pasti 18 pemain yang akan masuk ke dalam skuad 30.

“Sekarang ini hanya berbaki 12 pemain  saja lagi yang akan membentuk senarai akhir 30 pemain,” katanya.

Ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh gembira dengan kesungguhan dipamer pemain pada latihan pemilihan pemain di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Selain itu, beliau yang juga bekas kapten skuad kebangsaan mengakui, tidak mudah untuk memilih barisan pemain terbaik memandang rata-rata yang menyertai pemilihan itu mempamerkan aksi memukau.

“Saya mengakui untuk memilih baki 12 pemain cukup sukar kerana semuanya mempunyai potensi dan bakat masing-masing.

“Oleh itu senarai akhir akan diumumkan pada hujung bulan ini sebaik sesi pemilihan fasa pertama selesai dengan sekarang ini terdapat sekurang-kurangnya lima baki perlawanan perlu ditempuhi mereka,” katanya.