BELUM masanya untuk meletakkan sasaran ranking dunia buat Speedy Tigers, kerana ketua jurulatih baharu, Sarjit Singh memerlukan masa membentuk sebuah pasukan mantap yang rata-rata dibarisi pemain muda.
Begitupun, usaha menaikkan semua ranking skuad hoki lelaki kebangsaan akan dilakukan, selepas pasukan negara kini menghuni tangga ke-13 berbanding di kedudukan ke sembilan, tahun lalu.
“Kami sedang melakukan penilaian ke atas setiap pemain. Keutamaan saya adalah untuk membentuk pasukan terlebih dahulu dan kemudian jika ada keputusan yang baik, pastinya ia bagus untuk pasukan.
“Tapi jika sebaliknya, kami perlu terus kepada usaha membentuk pasukan sehinggalah ke Sukan Asia (2026)… Sukan Asia adalah sasaran sebenar,” katanya.
Tugasan pertama Speedy Tigers dan Sarjit adalah Piala Sultan Azlan Shah yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 11 Mei depan di Ipoh.
“Kami tak boleh beritahu sasaran tertentu kerana anda perlu melihat kepada pemain yang terpilih. Sebab itulah seperti saya katakan sebelum ini, kami perlu bentuk pasukan terlebih dahulu.
“Sasaran utama adalah di Sukan Asia 2026. Kami ada dua tahun tujuh bulan untuk melakukan persediaan ke temasya itu,” katanya.
Menerusi pengumuman senarai 30 pemain yang terpilih menjalani latihan fasa kedua semalam, majoriti pemain dipilih Sarjit terdiri daripada pemain muda, malah enam pemain tidak pernah melakukan penampilan bersama skuad kebangsaan.
Mereka adalah Che Shahrul Azmi Che Saufi, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin, Muhammad Syawal Abd Razak, T Naaveennash, Azimuddin Syakir Kamaruddin dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi.
Sarjit turut memilih empat pemain daripada skuad Piala Dunia Remaja tahun lalu ke dalam senarai 30 pemain itu iaitu Muhammad Faris Harizan, Mughni Mohamad Kamal, Alfarico Lance Liau Jr dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari yang juga pemain paling muda berusia 18 tahun.
Pada saingan Piala Sultan Azlan Shah, skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan bersaing bersama Kanada, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Korea Selatan.
Skuad negara kemudian akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.