KEUNIKAN dua orang peminat penyokong Harimau Malaya mengenakan busana baju Melayu dan bertanjak menarik perhatian para peminat di luar perkarangan Stadium Al Janoub, petang ini.
Mereka yang berasal dari Johor Bahru baru tiba sejak semalam tidak sabar menyaksikan aksi pembukaan Kumpulan E melibatkan Malaysia berdepan Jordan.
Penyokong Malaysia, Irsyad Ifwat, 33, berkata, idea untuk memakai baju Melayu sudah lama berlegar dalam kepala sebaik sahaja tahu pasukan negara layak ke Piala Asia 2023.
“Ini adalah masa yang sesuai untuk kita tunjukkan budaya Malaysia dan bagi orang luar nampak.
“Memang kami datang ke sini semata-mata untuk tengok Malaysia bermain selepas 42 tahun. Jadi, benda macam ini kita sepatutnya sokong, dan saya sanggup datang.
“Inilah momen yang saya rasa patut ambil peluang, sebab kita tak tahu akan datang sama ada Malaysia mampu untuk teruskan lagi pencapaian seperti ini ataupun tidak.
“Apapun sekarang ini Malaysia dah layak jadi kita raikanlah,” katanya yang juga pemilik akaun Youtube CEO On Tour ketika ditemui di Doha, Qatar.
Sementara itu, Mohd Rozi Mohd Ali, 41 percaya anak buah Kim Pan-gon dapat mara ke Pusingan 16 berdasarkan prestasi terkini.
Malaysia akan turun ke gelanggang sebentar lagi bertemu Jordan untuk misi meraih tiga mata sebelum berjumpa Bahrain aksi kedua kumpulan pada Januari ini.