JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mempamerkan aksi bertenaga dalam acara 200m, Piala Cabaran Olahraga Niigata, Jepun hari ini, meskipun tidak menaiki podium.

Azeem, 18, berjaya mencapai sasarannya untuk mencatat masa bawah 21.00 saat apabila menamatkan perlumbaan final 200m di Stadium Denka Big Swan, di kedudukan kelima dengan catatan 20.98s.

Pada Sukan Malaysia (Sukma) lalu, pelari dari Ipoh, Perak itu menyuarakan hasrat untuk konsisten dengan catatan bawah 21s dalam acara 200m dalam setiap kejohanan disertai.

Pingat emas acara itu dimenangi Uzawa Toba mewakili Tsukuba Omiya Castle dengan masa 20.60s, manakala perak menjadi milik Keigo Yasuda dari Sumitomo Electric Hyogo menerusi catatan 20.75s.

Azeem melintasi garisan penamat 100m, menang pingat emas Sukma baru-baru ini.

Seorang lagi pelari Jepun, Uemoto Naoki yang mewakili IxZOG Osaka pula meraih pingat gangsa dengan catatan 20.94s.

Azeem pula terpaksa berpuas hati meraih kedudukan kelima apabila dipisahkan 0.002s menerusi penentuan photo finish dengan Yamashita Jun dari ANA Tokyo di tempat keempat selepas terikat 20.98s.

Pada peringkat separuh akhir sesi pagi tadi, Azeem memenangi perlumbaan dengan masa 21.00s.

Ia adalah catatan yang lebih bagus jika dibandingkan dengan masa dilakukan Azeem sewaktu memenangi pingat perak Sukma 2022 iaitu 21.03s.

Azeem yang memegang rekod 100m kebangsaan dengan masa 10.09s, mempunyai catatan peribadi terbaik dalam acara 200m iaitu 20.83s sewaktu Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 di Cali, Colombia pada Ogos lalu.

Rekod 200m kebangsaan, 20.77s masih kekal milik pelari negara yang berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib yang melakukannya di Queensland Track Classic pada 23 Mac 2019.