SUKAN Asia Hangzhou 2022 masih ‘on track’ biarpun The Pocket Rocketman gagal menyerlah di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland.
Meskipun jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tersingkir di pusingan kedua acara pecut dan kandas di suku akhir keirin, ketua jurulatih negara, John Beasley berpendapat pelumba berusia 35 tahun itu menunjukkan perkembangan prestasi yang positif dengan mengambil kira penyertaan Kejohanan Dunia pertamanya selepas menjalani pembedahan jantung, April tahun lalu.
“Dia hanya kembali berlumba pada November tahun lalu, lihat betapa jauh dia sudah capai. Walaupun tidak bernasib baik di Kejohanan Dunia kali ini, tetapi kami sudah belajar dan mengharungi perlumbaan yang sukar untuk membawa dia ke tahap yang lebih tinggi.
“Dia menjadi lebih pantas berbanding sebelum ini, cuma kami hanya kekurangan perlumbaan yang kompetitif berturut-turut seperti yang kami harungi di Kejohanan Dunia untuk melangkah ke peringkat seterusnya,” kata Beasley.
Menurut Beasley, dia juga tidak akan mengambil risiko dengan tahap kesihatan Azizulhasni dalam usaha untuk meletakkan dia berada di kemuncak prestasinya terutama bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.
Azizulhasni dilaporkan mengalami kesukaran bernafas dan pening kepala sejurus tamat aksi separuh akhir keirin.
“Kami tidak akan mengambil sebarang risiko dengan kesihatan Azizulhasni, kesihatannya adalah yang paling utama berbanding prestasi dalam sukan.
“Azizulhasni dalam keadaan baik selepas pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor di velodrom, saya bukan pakar perubatan. Namun, saya percaya ia adalah perlumbaan suku akhir yang sangat sukar dan perlumbaan separuh akhir bermula selepas itu sekali gus meletakkan badan dalam keadaan tekanan.
“Saya percaya badannya akan menyesuaikan dengan tekanan baharu ini yang akan membantunya bergerak ke hadapan,” katanya.