EDISI ke-19 Sukan Asia di Hangzhou, China tetap menjanjikan nafas baharu kepada masa depan sukan negara, apabila 13 daripada 22 sukan yang disertai kontinjen negara, menghasilkan pingat.

Selain melepasi sasaran 27 pingat yang ditetapkan, pencapaian 13 sukan meraih pingat itu turut melepasi apa yang dicapai pada dua temasya lalu.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata, ia membuktikan pendekatan meletakkan sasaran tanpa warna pingat itu dapat membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan fokus atlet yang bertanding.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin (dua dari kanan) menyifatkan pencapaian atlet ini tidak cemerlang tetapi tidak juga mengecewakan.

Sasaran tanpa pingat di temasya Sukan Asia Hangzhou kali ini menyaksikan kontinjen negara membawa pulang enam emas, lapan perak dan 18 gangsa.

“Atlet yang hadir ke sini memang mempersiapkan diri untuk menang. Tak ada atlet yang nak kalah. Sasaran ini mengurangkan tekanan dan memberi tumpuan kepada atlet untuk berikan yang terbaik.

“32 pingat yang diperoleh, saya rasakan sangat baik dan seperti yang saya katakan dua sukan utama yang menyumbangkan pingat (silat dan boling) tidak dipertandingkan kali ini.

Muhammad Arif Afifuddin berjuang berhabis-habisan, menyumbang pingat terakhir negara semalam, dengan kilauan emas.

“Cuba bayangkan kalau Azizul (Datuk Azizulhasni Awang) ada, kita sudah ada dua pingat di situ… boling menyumbangkan dua emas di Jakarta bayangkan berapa banyak pingat yang kita boleh dapat,” katanya.

Sekiranya Azizulhasni tidak menarik diri kerana kecederaan, sudah tentu bilangan dan kilauan pingat akan bertambah.

Bagai melepaskan segala beban di bahunya… Sivasangari menjerit sekuat hati, selepas menewaskan Chan Sin Yuk, dari Hong Kong.

Tegas Jeffri keputusan yang dicapai ini adalah satu kejayaan yang boleh raikan dengan pendekatan ini sudah lama dipraktikkan di Jepun dan Korea.

“Enam pingat emas dan hanya kurang satu berbanding edisi lalu di Jakarta-Palembang. Malah dengan 13 sukan menyumbangkan pingat berbanding 12 di Palembang dan 10 di Incheon, Korea Selatan, saya rasa satu perkembangan yang baik.

“Jenis sukan yang menyumbangkan pingat juga bertambah dan ia adalah satu yang sangat baik untuk perkembangan sukan negara,” katanya.

Pingat emas berharga buat Qabil.

Kata Jeffri, biarpun hanya dua acara sukan Olimpik iaitu pelayaran dan ekuestrian menyumbangkan pingat emas, namun secara keseluruhan, 18 pingat yang lain disumbangkan dari sukan Olimpik.

Terjun lima, basikal (4), olahraga (4), badminton (1), ekuestrian (1), gimnastik (1), pelayaran (3).

Dibandingkan Jakarta hanya lima sukan olimpik yang menyumbangkan pingat ekuestrian (1), pelayaran (3), hoki (1) berbasikal (3), terjun (4).

Pertambahan pingat itu menunjukkan atlet negara kini berada di tahap yang agak baik untuk bertanding di peringkat lebih tinggi.