BEKAS pengendali Sarawak United FC dan Selangor FC, B. Satiananthan mengesahkan sedia kembali membimbing pasukan beraksi dalam saingan Liga Super musim 2023.
Bagaimanapun, Sathia menjelaskan keputusan tersebut bergantung kepada pihak yang bakal mengambil alih pasukan yang secara rasmi telah mengumumkan penarikan diri.
“Saya tunggu daripada pihak yang mengambil alih pasukan yang akan saya pimpin, kalau benda (pengambilalihan)itu tidak berlaku berlaku bermakna saya tidak boleh kembali.
“Jadi saya tunggu, benda (pasukan) ini semua orang tahu Petaling Jaya City FC, kalau pemilik (owner) baharu itu dapat bagi syarat-syarat bukan hanya dengan PJ City tetapi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu yang penting.
“Kalau tak dapat mungkin saya tidak akan kembali, semuanya tunggu dan lihat apabila keputusan itu dibuat dan saya akan ambil pasukan, setakat ini belum lagi pasti,” katanya kepada FlashSukan.
Untuk rekod, PJ City FC yang layak beraksi di Liga Super 2023 secara rasmi mengumumkan penarikan diri pada 11 November 2022.
Presiden PJ City FC, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan bahawa penarikan diri daripada Liga M 2023 dilakukan bukan disebabkan masalah kewangan seperti yang didakwa beberapa pihak sebelum ini.
Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana melihat kelab itu sukar untuk menyesuaikan diri dengan senario baharu kancah liga bola sepak tempatan musim depan.
Selain itu, Subahan menjelaskan pihaknya bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang berminat untuk mengambil alih PJ City dan meneruskan persaingan dalam Liga M musim 2023.
“Kalau ada pihak yang berminat, mereka boleh berhubungan dengan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) kami bagi membincangkan perkara itu. Selepas itu ia boleh dibawa ke lihak MFL bagi tindakan selanjutnya.
PJ City menjadi satu-satunya kelab yang 100 peratus menggunakan barisan pemain tempatan tanpa tonggak import dengan mereka menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan kesembilan.